Sabtu, 1 Ogos 2009

SYURGA DAN TINGKATANNYA

Ketahuilah setiap tingkatan Neraka dengan kesedihan mahupun kesengsaraannya, akan diimbangi oleh Syurga dengan segala kenikmatan dan kebahagiaannya. Oleh kerananya di satu ketika kamu mesti takut kepada seksa Neraka dan di ketika yang lain kamu berharap kepada kenikmatan Syurga. Pukullah nafsumu dengan pukulan "takut" serta luruskan dia dengan "harapan" ke jalan yang lurus. Dengan demikian kamu akan mendapat kerajaan yang besar itu dan selamat dari seksa yang amat pedih.

Fikirkan tentang ahli Syurga. Di muka mereka ada pancaran kenikmatan. Minumannya dari R-Rahiq al-Makhtum. Duduk di atas singgahsana yaqut merah dalam khemah dari lukluk putih dan di dalamnya penuh dengan segala keindahan yang tidak terbayangkan. Bersandar di atas kerusi pengantin dengan bersenang-senang di atas gemercik air sungainya. Dihujani arak dan madu. Dikelilingi anak-anak Syurga. Dihiasi bidadari yang bermata indah seperti yaqut dan marjan yang selalu menawan hati insan. Mereka berjalan di tangga Syurga. Apabila salah satunya telah enggan berjalan, lalu di dokong oleh tujuh puluh ribu anak dari syurga. Lalu bidadari-bidadari itu mengenakan sutera putih bersulam tijan dan bertatahkan lukluk dan marjan.Elok di pandang mata. Tidak akan tua dan tidak akan membosankan. Mereka terus mendampingi dalam khemah di sebuah mahligai nan indah terbuat dari yaqut yang dibangunkan di tengah taman Syurga. Lalu dihidangkan pada mereka cangkir, kendi dan gelas-gelas dari arak yang mengalir, menyegarkan bagi orang yang meminumnya.
Dan dikelilingi pula anak-anak dari Syurga seperti lukluk yang tersulam, sebagai balasan amal mereka. Itulah syurga dan mata air di syurga dan Sungai di tempat yang benar, di sisi Tuhan Yang Maha Kuasa. Di situlah melihat kepada Raja Yang Maha Mulia di mana telah terpancar cahaya kebahagiaan pada muka mereka. Tidak cemas sedikit pun. Bahkan mereka hamba-hamba yang dimuliakan dengan segala kenikmatan dari Tuhannya yang telah dijanjikan. Mereka kekal dalam sesuatu yang diingini. Mereka tidak takut, gelisah, atau ragu. Bahkan bahagia sahaja. Mereka makan makanan Syurga, minum dari sungai arak, madu, susu dan airnya.
Bahawa bumi Syurga itu dari perak, debunya dari misik, tumbuhannya dari ya'faran. Dihujani dari mendung air nisrin. Diberi gelas dari perak yang diperbuat dari permata, yaqut dan marjan berisikan ar-Rahiq al-Makhtum yang dibubuhi salsabil yang menyegarkan. Dan ada pula gelas yang memancarkan cahayanya dari kebeningan permatanya di mana orang yang meminum dapat melihat dari baliknya yang sungguh tidak dapat dibuat oleh manusia.
Sungguh menakjubkan, sehingga cahaya akan pancaran itu membias pada mukanya dan mengalahkan matahari. Sungguh menghairankan bagi orang yang mempercayai syurga ini. Penghuninya tidak akan mati, tidak akan binasa. justeru itu bagaimana boleh cinta kepada dunia yang akan binasa. Demi Allah, kalau di situ aman dari maut, lapar, haus dan segala yang menyakitkan,tentunya tidak keberatan meninggalkan dunia ini. Padahal penghuninya adalah raja-raja, aman, diberi segala kenikmatan yang diinginkannya dan setiap hari memandang kewajah Allah, dan dengan itu mereka akan mendapatkan kenikmatan yang tidak mereka dapatkan pada setiap kenikmatan di Syurga. Dan mereka abadi di situ.
Abu Hurairah berkata : "Telah bersabda Rasulullah saw:
"Jurupanggil memanggil: "Wahai ahli Syurga , sihat telah diberikan untukmu, kamu tidak akan sakit selamanya . Hidup telah diberikan kepadamu, kamu tidak akan mati selamanya.
Dan muda telah diberikan kepadamu, kamu tidak akan tua selamanya. Nikmat pun telah
diberikan kepadamu, kamu tidak akan bosan selamanya."


Lihat sambungan:

0 ulasan:

Date and Time


 

Design by Amanda @ Blogger Buster